02 May 2013

Maryam bukan "isteri Tuhan"

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. (16)

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya daripada mereka, maka Kami hantarkan kepadanya Roh dari kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (17)
Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung dengan (Allah) ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa. (18)
Dia berkata: Sesungguhnya aku hanyalah utusan Tuhanmu, untuk mengurniakanmu seorang anak yang suci. (19)
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat? (20)
Dia menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satuAyat ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Maryam.Mayram adalah puteri kepada Imran yang telah diceritakan tentang kelahirannya dalam surah Ali Imran ayat 35-37 yang bermaksud:
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan,  dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan, dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, daripada godaan syaitan yang kena rejam. Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia mendapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab; Ia adalah daripada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.”
Maryam adalah satu-satunya nama wanita yang disebut dalam al-Quran. Tidak ada nama Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asiah dan lain-lain. Hanya Maryam.
Ini menunjukkan Maryam merupakan seorang wanita istimewa, wanita terpilih daripada kalangan wanita-wanita di dunia. Apa yang berlaku ke atas Maryam hanya berlaku ke atas Maryam sahaja. Tidak berlaku ke atas wanita selainnya.
Sebagai contoh, dalam surah at-Tahrim Allah mengemukakan perumpamaan dua orang wanita kafir, isteri kepada dua orang nabi Allah tanpa menyebut nama wanita-wanita itu. Allah juga membuat perumpamaan wanita mukminah, isteri kepada musuh Allah yang paling angkuh dan sombong, juga dengan tidak menyebut nama wanita itu.
Kenapa?
Sebabnya, ketiga-tiga wanita itu hanyalah contoh bagi golongan tertentu. Contoh isteri solehah, suami tidak soleh. Contoh suami soleh, isteri tidak solehah. Hal seperti itu banyak berlaku dan berulang-ulang sepanjang sejarah kemanusiaan dalam pertarungan antara hak dan batil. Tetapi Maryam berbeza. Dia bukan contoh bagi mana-mana golongan. Tetapi dia adalah dirinya yang dipilih oleh Allah untuk menzahirkan satu mukjizat, satu ayat daripada ayat-ayat Allah.
Mari kita ikuti detik demi detik kisah Maryam yang dipaparkan dalam ayat-ayat di atas. Pada suatu hari yang tidak dinyatakan waktunya, Maryam sedang menyendiri di suatu tempat yang disebut sebelah timur. Menurut Ibn Kathir, terdapat beberapa pandangan mengenai maksud sebelah timur dan kenapa Maryam pergi bersendirian di situ. Ada pendapat mengatakan maksudnya adalah sebelah timur Masjid al-Aqsa kerana dia sedang didatangi haid.
Ada yang mengatakan tempat sebelah timur itu bermaksud tempat yang terang, jauh dan terpencil. Sebab dia pergi adalah untuk mengambil air. Ada pendapat mengatakan, dia menjadikan tempat itu sebagai rumah, tempat dia beribadah.
Kita bayangkan, ketika dia bersendirian mengurung diri di sebalik dinding atau tabir, jauh daripada pandangan manusia dan keluarga, tiba-tiba muncul seorang lelaki kacak yang sempurna kejadiannya. Apakah perasaan dan reaksinya pada ketika itu? Terkejut? Panik? Tergoda? Atau lain-lain?
Allah Taala menceritakan kepada kita reaksi Maryam, gadis solehah yang dididik dengan iman dan takwa, yang dibesarkan oleh seorang nabi yang maksum, yang hatinya penuh terisi dengan ibadah dan ubudiyyah. Dia tidak cemas, tidak menggelabah, jauh sekali daripada tergoda. Sebaliknya, dengan tegas, matang dan sopan dia berhadapan dengan lelaki kacak yang tidak dikenali itu, yang mungkin datang dengan niat yang tidak baik, malah kemungkinan ini sangat besar kerana dia datang seorang diri ke tempat Maryam ketika Maryam bersendirian, jauh daripada pandangan manusia serta keluarganya! Dia berkata:
“Sesungguhnya aku berlindung dengan (Allah) ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa.”
(Maryam:18)
Dan apabila lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Utusan Tuhan Maryam (Rasulu Rabbiki) dan menjelaskan maksud kedatangannya untuk menyampaikan perkhabaran Maryam akan memperoleh seorang anak lelaki, maka kegusaran dan tanda tanya di hati Maryam semakin membuak. Kita bayangkan, lelaki kacak datang menjengah seorang gadis yang sedang bersedirian di tempat sunyi, memberitahu bahawa dia akan mendapat anak!
Anak? Bagaimana cara manusia mendapat anak? Yang terlintas di fikiran Maryam dan fikiran kita, tidak lain daripada cara yang biasa terjadi, percantuman antara lelaki dengan perempuan sama ada dengan cara yang halal (perkahwinan) atau haram (zina). Walaupun lelaki itu telah memperkenalkan dirinya sebagai Utusan Tuhan Maryam, Tuhan Yang Maha Kuasa dan boleh melakukan apa saja yang Dia Kehendaki, itu tidak dapat memadamkan dengan mudah kegusaran di hati Maryam dan mungkin juga prasangka yang tidak diundang. Lalu dengan spontan terpantul persoalan dari bibirnya:
"Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat?”
(Maryam:20)
Dia belum berkahwin dan tidak pernah melakukan hubungan kelamin secara halal dan tidak mungkin baginya untuk melakukannya secara haram. Maka, apa maksud perkhabaran yang pelik itu?
Akhirnya tersingkaplah rahsia yang terjawablah tanda tanya, iaitu “Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat daripada Kami…”
Manusia terbiasa dengan kejadian yang berlaku saban masa dan ketika dalam hidupnya sehingga dia menyangka kejadian itu merupakan satu ketentuan yang tidak mungkin berubah dan bertukar ganti. Allah mahu menjelaskan bahawa segala peraturan dan undang-undang alam yang mendasari kehidupan dan perjalanan alam semesta merupakan sunnah yang ditentukan dan diatur oleh Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Sunnah itu akan berlaku, berjalan seperti biasa selagi mana Dia Menghendakinya. Apabila Dia Menghendaki sunnah itu tidak berlaku, atau Dia Menghendaki sesuatu itu berlaku tidak mengikut sunnah yang ditentukannya, maka Kehendak-Nyalah yang akan berlaku. Jadi, penganugerahan anak kepada Maryam, seorang gadis suci yang tidak berkahwin adalah satu ketentuan untuk membuktikan Kekuasaan-Nya yang mutlak dan Kehendak-Nya yang tidak terbatas. Ia juga merupakan rahmat kepada kita kerana dengan keyakinan yang sedemikian kita tidak akan berputus asa daripada mengharap pertolongan-Nya walau dalam keadaan apa sekalipun. Dia berkuasa melakukan apa saja tanpa terikat dengan sunnah yang melingkari kita.
Justeru, Maryam bukan isteri Tuhan. Dan anak yang dilahirkannya bukan anak Tuhan. Kedua-duanya adalah satu tanda daripada tanda-tanda Kebesaran Tuhan.

credit to: Ustzh Maznah Daud