03 November 2014

Kerana IMAN kita BERSAUDARA

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”

(Al-Hujurat: 10)

Suka saya coretkan tentang penulisan ini sebagai satu peringatan buat diri saya sendiri juga diri sekalian mereka yang punya hati. Berikutan pelbagai isu mahupun hal-hal yang tercetus sama ada di media cetak, elektronik mahupun di alam realiti sendiri masa kini. Moga manfaatnya diperoleh, insya-Allah.

Ayat yang diketengahkan itu, sebagaimana yang kita ketahui, dinamakan juga dengan ayatul ukhuwah kerana mengetengahkan konsep yang jelas dan nyata bahawa setiap orang yang beriman yang seakidah dengannya adalah bersaudara tidak kira apa bangsanya, apa wara kulitnya, apa persatuan atau jamaah yang disertainya dan lain-lain lagi.

Konsep ukhuwah yang berlandaskan iman ini tepat berada di pertengahan surah Al-Hujurat yang dinamakan juga dengan Surah ‘Al-Adab’ kerana isi kandungannya sarat dengan perkara tentang adab dalam konteks maknanya yang cukup luas iaitu adab dengan Allah, adab dengan Rasul-Nya, adab dengan diri sendiri dan adab dengan sesama orang yang beriman.

Sesungguhnya perbezaan setiap antara kita adalah sunnatullah yang tidak akan berubah. Namun di sinilah iman yang menyikapi perbezaan tersebut dalam satu nama tautan iaitu akidah.

Secara rasionalnya, hubungan antara mereka yang beriman begitu erat digambarkan dalam ayat di atas kerana menggunakan istilah ‘ikhwah’ bukan ikhwan yang secara bahasa ikhwah bermakna saudara sekandung yang mempunyai hubungan dan ikatan darah keturunan. Ia seolah-olah memberi isyarat sebuah makna yang dalam bahawa ikatan ideologi sama kuatnya dengan ikatan nasab, bahkan seharusnya lebih kuat daripada itu.

Justeru, di sini ia menjelaskan pengertian bahawa keimanan seseorang masih harus diuji dengan ujian kesatuan dan persaudaraan tanpa memandang ras, suku, bangsa, atau apa-apa.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengingatkan eratnya hubungan antara mereka yang beriman dengan tamsilan yang sangat indah;

“Seorang mukmin bagi mukmin yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya. Kemudian Rasulullah menggenggam jari-jemarinya.”

(Bukhari dan Muslim)

Yang menariknya di sini, ayat-ayat Allah tentang kesatuan umat yang dominan dalam surah ini didahului dengan perintah untuk mendahulukan Allah dan Rasul-Nya daripada selain kedua-duanya dalam semua aspek.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mendahului atas (aturan) Allah dan Rasul-Nya. Dan bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Hujurat: 1)

Hal ini menunjukkan bahawa Allah sebenarnya sangat menginginkan kebaikan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman. Untuk itu, Allah mencabut daripada dalam hati mereka sifat kufur, fasik, dan kemaksiatan sehingga mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk. Subhanallah.

Dan inilah sesungguhnya kenikmatan dan keutamaan yang tidak terhingga bagi setiap Muslim yang tercermin dalam ungkapan Allah, “Fadhlan minallah wani’mah”.

Sayyid Qutb menyimpulkan berdasarkan ayat di atas bahawa taat kepada Allah dan Rasul-Nya merupakan benteng yang kukuh untuk menghindari perpecahan dan pertikaian yang akan merapuhkan kekuatan dan kesatuan umat. Dengan mendahulukan taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan lenyaplah benih-benih pertikaian yang kebanyakannya berawal daripada perbezaan cara pandang yang sering bersumber daripada hawa nafsu yang diperhambakan. Nauzubillah.

Di sini jelas, konsekuensi daripada ukhuwah seperti yang ditegaskan oleh ayat ukhuwah di atas adalah adanya sikap saling menyayangi, memberikan kebahagiaan, keselamatan, tolong-menolong, rasional, berbaik sangka apalagi menjaga hati daripada terheret ke dalam kancah yang merosakkan makna ukhuwah itu sendiri.

Dalam konsep berjamaah (berpersatuan) pula, tidak perlulah setiap diri antara kita merasakan persatuan atau organisasi yang disertai dirinya adalah terbaik. Ya tentunya tidak menjadi isu atau masalah apabila mengakui terbaik dalam kalangan ahli-ahlinya sahaja tanpa menyatakan jamaah atau organisasi mahupun pertubuhan lain itu tidak baik atau apa-apa yang negatif.

Inilah prinsip yang harus ditegakkan dalam sebuah masyarakat Muslim. Perselisihan dan perpecahan merupakan pengecualian daripada sebuah ukhuwah yang perlu dihindari.

Dalam perkara memerangi kelompok yang merosakkan kesatuan dan ukhuwah umat, ia dibenarkan bahkan diperintahkan bagi tujuan melakukan islah (pembaikan) dan mengembalikan mereka ke dalam barisan kesatuan ini.

“Maka perangilah kelompok yang melampaui batas sehingga mereka kembali kepada aturan Allah.”

(Al-Hujurat: 9)

Justeru, dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan motivasi kepada kita akan betapa pentingnya menjaga keutuhan umat dengan menjaga persaudaraan antara mereka;

“Sesungguhnya kedudukan seorang mukmin dalam kalangan orang-orang beriman adalah seperti kepala daripada tubuhnya. Ia akan berasa sakit jika badannya sakit.”

(Imam Ahmad).

Nas hadis yang seumpama ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud;

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggotanya sakit, maka seluruh anggotanya turut merasakannya dengan tetap berjaga.”

(Muslim dan Ahmad)

Dalam riwayat Muslim yang lain pula dinyatakan;

“Orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas mimbar yang bercahaya pada hari kiamat kelak iaitu mereka yang berlaku adil dalam urusan sesama Muslim dan tidak berlaku zalim.”

Kemudian Rasulullah membaca ayat ukhuwah di atas. Maka ayat ini merupakan ilat daripada perintah untuk melakukan islah terhadap sesama Muslim bagi memelihara dan membangunkan ukhuwah antara mereka.

Dalam ilmu al-Quran pula, meskipun ayat ini turun kerana sebab tertentu, namun ayat ini merupakan ayat muhkamat yang harus dijadikan sebagai kaedah umum yang bersifat universal yang akan tetap berlaku bagi setiap kejadian di tengah-tengah komuniti persatuan (jamaah) kaum beriman, kerana iman dan ukhuwah merupakan harga yang sangat mahal, sehingga Allah tetap menamakan mereka orang yang beriman walaupun wujud perselisihan, bahkan peperangan antara dua golongan tersebut seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya;

“Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya.”

(Al-Hujurat: 9)

Inilah realiti Quran yang sangat mungkin terjadi kepada sesiapa pun dan kelompok jamaah mana pun. Lantas sebaiknya kita sentiasa bersiaga dan mempersiapkan bekalan untuk mendepaninya secara rasional dan mengikut landasan yang telah ditetapkan Allah dan Rasul-Nya.

Namun begitu, Allah tetap mengingatkan kita dengan satu prinsip, iaitu ukhuwah dan kesatuan umat merupakan modal untuk meraih rahmat Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana yang termaktub daripada petikan ayat terakhir ‘La’allakum turhamun’ (supaya kamu mendapat rahmat).

Ayat-ayat selanjutnya dalam surah tersebut membicarakan tentang tip memelihara dan menjaga keberlangsungan ukhuwah.

Antaranya;

1- Bersedia menerima dan melakukan islah (fa’ashlihu bayna akhawaikum)
2- Kedua, menghindari kata-kata hinaan/mempermainkan (la yaskhar qaumun min qaumin)
3- Ketiga, menghindari su’udz zhan (ijtanibu katsiran minadz dzan)
4- Keempat, menghindari ghibah dan mencari-cari kesalahan (la tajassasu wala yaghtab ba’dhukum ba’dhan)

Seluruh etika dan adab ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang senantiasa dipandu dan merujuk kepada meter iman.

Sesungguhnya syaitan memang telah berputus asa daripada memujuk dan menggoda manusia agar berpaling daripada Allah. Maka mereka akan senantiasa menyemai benih permusuhan dan pertikaian antara orang-orang yang beriman. Nauzubillah.

Dengan itu, islah harus dilakukan dengan cara apa pun dan dalam keadaan bagaimana pun. Bahkan menurut Syeikh Solih Al-Utsaimin, ia hinggakan harus mengorbankan segalanya, kerana hasil aktiviti islah itu adalah lebih baik, jika demi menjaga kesatuan umat. “Wash-Shulhu Khair.”

Syeikh Musthafa Masyhur dalam bukunya “Jalan Dakwah” mengingatkan kita Umat Islam betapa penting dan perlunya bersaudara kerana Allah dalam konteks dakwah. Inilah yang pertama sekali Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lakukan ketika mempersaudarakan antara orang-orang Muhajirin dan Ansar.

Merekalah contoh teladan yang indah dan agung tentang cinta dan ikrar yang mengutamakan persaudaraannya lebih daripada segalanya, bukan memilih kerana kaum, jamaah atau parti atau oraganisasi mahupun pertubuhan yang dianggotainya.

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”

(Al-Hasyr: 9)

Wahai diri, wahai teman-teman yang mangaku beriman dengan agama Allah, sedarlah diri kita. Sedarkanlah sahabat-sahabat kita, ingatkanlah insan-insan di sekeliling kita, marilah kita mula melihat sejauh mana perananan kita dalam membangunkan dan memelihara kesatuan umat Islam ini. Sudahkah kita laksanakan sebagaimana kehendak Allah dan Rasul-Nya?

Janganlah hingga suatu waktu anda menjadi pelopor atau provokator terjadinya perpecahan umat. Nauzubillah.

Wahai sekalian kita, sedarlah bahawa dakwah Islam adalah dakwah yang dibangunkan atas prinsip persaudaraan. Dalam kamus generasi awal umat Islam, menjaga keutuhan dan kesatuan umat merupakan amal aula’ (utama) yang menduduki peringkat pertama daripada amal-amal yang mereka lakukan. Dan sarananya adalah dengan memelihara, membina dan memperkuat tali persaudaraan antara mereka yang sesungguhnya sejak awal telah diikat oleh Allah ketika seseorang menyatakan keIslamannya;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

Maka wajarlah sekalian diri kita yang mengakui beriman kepada Allah sering memuhasabah diri, mengkoreksi peribadi apalagi menjaga hati-hati sekalian saudara seakidah kita. Janganlah sampai diri sendiri menjadi pencetus onar dan penyebar layar fitnah kepada saudara seakidah.

Berhati-hatilah wahai diri dan sekalian yang punya hati. Moga catatan sederhana saya ini memberi kesedaran kepada kita semua, insya-Allah.

credit to:  Atriza Umar

0 Cer komen Cikit: