11 February 2015

Hujah Imam Hanafi Dengan Addahri

"Soalan pertama aku wahai anak muda, benarkah Allah itu wujud ?" soal Dahri memulakan majlis dialognya.

"Sesungguhnya Allah itu memang wujud," tegas Imam Abu Hanifah.

"Sekiranya benar Allah itu wujud, bila dia dilahirkan ?" tanya Dahri lagi sambil tersenyum. Soalan pertama itu yang membuat ramai ulama kelu lidah bagi menjawabnya.

"Allah tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Dia yang pertama dan terakhir, tidak ada sesuatu sebelumnya dan tidak ada sesudahnya," jawab Imam Abu Hanifah.

"Mustahil tidak ada yang mendahuluinya dan tidak ada kemudian darinya. Buktikan contohnya kepada aku," balasDahri.

Imam Abu Hanifah menunjukkan lima jari pada tapak tangannya lalu berkata, "Cuba kamu lihat ibu jari ini. Adakah ada jari sebelumnya ? Cuba lihat pula jari kelingkingku ini. Adakah jari lain selepasnya ? Sekiranya jari ini Tuhan boleh buat begitu, apatah lagi diriNya."

"Sekiranya begitu, pada tahun berapa Tuhan dilahirkan ?" tanya Dahri lagi.

"Seperti yang saya katakan tadi, Allah itu tidak dilahirkan dan tidak melahirkan. Allah itu wujud sebelum wujudnya sesuatu. Sebelum masa dan tarikh dicipta, Allah itu lebih dahulu wujud. Kewujudannya tidak terikat oleh masa dan tarikh." jawab Imam Abu Hanifah.

"Berikan buktinya...," pinta Dahri.

"Adakah kamu tahu ilmu mengira ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Sejak kecil aku sudah mengenal angka," jawab Dahri.

"Apakah angka sebelum nombor satu ?"

"Kosong atau tiada...."

"Sekiranya angka satu itu tidak angka sebelumnya, mengapa kamu hairan Allah Yang Maha Esa itu tidak ada yang mendahuluiNya ?"

Dahri terkesima kerana tidak menyangka anak muda yang disangkanya masih mentah itu dapat mematahkan hujahnya. Namun dia tidak mahu mengalah lalu terus bertanya,"Kata kamu, Allah itu wujud. Sekiranya begitu di manakah Tuhan kamu itu berada kerana setiap yang wujud pasti ada tempatnya ?"

"Maha Suci Allah yang tetap wujud tetapi tidak mempunyai tempat !" jelas Imam Abu Hanifah.

"Bukankah setiap yang wujud pasti ada tempatnya ? Lihat pohon kayu itu tempatnya di atas tanah. Manusia wujud tempatnya di atas bumi. Ikan itu wujud tempatnya di dalam air. Setiap yang wujud pasti bertempat," bantah Dahrisambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

"Jawapannya mudah sahaja. Cuba kamu lihat pada dirimu sendiri. Bukankah kamu ada nyawa ?" kata Imam Abu Hanifah.

Orang ramai pula mengikuti hujah-hujah anak muda itu dengan penuh minat.

"Dalam tubuhku ini memang ada nyawa. Bahkan setiap makhluk yang hidup pasti ada nyawa !" sahut Dahri.

"Adakah kamu tahu di manakah letaknya nyawa atau roh itu ? Di kepala kamukah, di perutkah ataupun adakah di hujung tapak kakimu ?" balas Imam Abu Hanifah.

Dahri tersentak mendengarnya. Dia tidak menyangka anak muda itu begitu pintar sedangkan sebelum itu tidak ada ulama yang dapat menjawabnya. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama mereka.

"Dahri, sekiranya kamu masih belum jelas, saya mahu jelaskan. Sekarang berikan saya segelas susu," pinta Imam Abu Hanifah.

Selepas diberikan segelas susu, Imam Abu Hanifah menunjukkannya kepada Dahri lalu bertanya, "Adakah kamu percaya dalam susu ini mengandungi lemak ?"

"Aku percaya...," jawab Dahri.

"Tunjukkan kepada aku di manakah lemak itu berada ? Di bahagian ataskah, di bahagian tengahkah ataupun di bahagian bawah ?" tanya Imam Abu Hanifah.

Sekali lagi Dahri tersentak lalu menggaru-garu kepalanya kerana dia tidak dapat menjawab pertanyaan itu. Melihat keadaan itu, Imam Abu Hanifah pun berkata, "Bagi mencari di manakah letaknya lemak dalam air susu ini pun kita tidak mampu dan bagi mengetahui di mana letaknya roh dalam diri kita tidak tahu, inikan pula mahu mencari di mana letaknya zat Allah."

Dahri terpaku, mukanya merah kerana berasa malu. Namun dia berusaha mengawal dirinya. Apabila keadaan agak reda, dia mengemukakan soalan seterusnya, "Hai anak muda, beritahu aku apakah yang wujud sebelum Allah dan apa pula yang muncul selepasnya ?" tanya Dahri.

Orang ramai menumpukan perhatian pada Imam Abu Hanifah.

"Jawapannya sama seperti yang mula-mula tadi. Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah dan tidak sesuatu jua yang akan muncul selepasnya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang awal dan dialah yang akhir," tegas Imam Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

"Mustahil Tuhan wujud  tanpa ada permulaannya dan lebih mustahil tidak ada lagi selepasnya. Apa hujahnya ?" Dahricuba berdalih dengan menggunakan logik akalnya.
Dengan tersenyum Imam Abu Hanifah menjelaskan, "Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kamu lihat pada ibu jari kamu itu. Jari apakah yang kamu nampak sebelum jari ini ?" sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Beberapa hadirin turut berbuat demikian.

"Pada jari kelingking kamu itu, apakah ada jari yang selepasnya ?" sambung Imam Abu Hanifah.

Dahri terdiam. Imam Abu Hanifah terus berhujah, "Sekiranya pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahuluinya dan tiada sesuatu yang kemudian selepasnya."

"Kata-kata Allah dalam surah Al-Hadid ayat 3 yang bermaksud,



"Dialah yang awal dan Dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan Dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."


"Anak muda, banyak lagi soalan yang aku mahu kemukakan. Tetapi sebelum itu, aku hendak bertanya, dengan siapa kamu berguru ?" tanya Dahri kerana kagum dengan kehebatan lawannya itu.

"Guruku adalah Imam Hammad. Dia turut berada dalam majlis ini sedang mengikuti perdebatan kita. Sekiranya saya anak muridnya tidak dapat kamu kalahkan, apatah lagi guru saya Imam Hammad." jawab Imam Abu Hanifah.

Dahri mula rasa gentar kerana anak muda itu bukan calang-calang orang bagi dilawan berdebat. Itu baru anak muridnya, belum lagi gurunya. Namun, Dahri tetap tidak mahu mengalah.

"Beritahu aku keadaan zat Tuhanmu, apakah ia keras dan pada seperti besi, ataupun cair seperti  air, ataupun berwap seperti udara ?" tanya Dahri lagi.

"Pernahkah kamu melihat orang sakit yang akan meninggal ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Selalu aku melihatnya," jawab Dahri.

"Sebelum meninggal dunia, pesakit itu masih boleh bercakap serta menggerak-gerakkan anggotanya. Tetapi apabila meninggal dunia, dia diam kaku dan bisu. Mengapa jadi begitu ?" tanya Imam Abu Hanifah pula.

"Kerana roh meninggalkan tubuhnya ataupun nyawanya sudah hilang," jawab Dahri.

"Apakah kamu melihat roh itu keluar ataupun nyawanya dicabut ?" tanya Imam Abu Hanifah lagi.

"Tidak," jawab Dahri.

"Kamu tidak dapat melihat roh itu kerana ia bukan benda yang padat seperti besi, ataupun cair seperti air ataupun menguap seperti udara ? Betul ?" tanya Imam Abu Hanifah.

"Entahlah, aku tidak pasti," kata Dahri.

"Sekiranya kita tidak mengetahui bagaimana bentuk roh itu, bagaimana kita hendak mengetahui zat Allah ?"

"Ke arah manakah Allah sekarang sedang menghadap wajahnya ? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai wajah dan arah tempat menghadap," tanya Dahri.

"Sekiranya kamu menyalakan lampu dalam gelap, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap ?"

"Sinar lampu itu pasti menghadap ke seluruh arah dan penjuru."

"Sekiranya demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan manusia, bagaiman dengan Allah Pencipta langit dan bumi ? Dia nur cahaya langit dan bumi."

"Kamu percaya adanya syurga ?" tanya Dahri lagi.

"Saya percaya," jawab Imam Abu Hanifah.

"Benarkah dalam syurga itu disediakan pelbagai jenis makanan dan minuman ? Tetapi penghuninya tidak buang air besar dan kecil. Bukankah itu cuma khayalan ?"

"Bukankah kamu pernah berada dalam perut ibu kamu selama sembilan bulan ? Selama dalam kandungan ibu itu kamu juga makan dan minum. Tetapi kamu tidak pernah buang air besar dan kecil. Itu baru dalam kandungan perut ibu kamu. Bagaimana pula sekiranya di dalam syurga ?"

Namun, Dahri masih tidak berputus asa mahu mengalahkan anak muda yang memalukannya itu. Dia memandang ke arah khalifah Yazid yang tersenyum. Sebelum itu wajah khalifah turut bermuram durja apabila para ulama tidak dapat berhujah dengan Dahri. Dahri berfikir seketika, mencari jalan bagi mengalahkan lawannya.

"Ini soalan aku yang terakhir. Aku yakin kamu tidak tahu apa jawapannya," kata Dahri sambil bercekak pinggang. Dia sengaja mengeraskan suaranya bagi menghilangkan rasa malunya.

"Dengan izin Tuhan, saya pasti menjawabnya...," balas Imam Abu Hanifah.

"Anak muda yang masih mentah, beritahu aku apa yang sedang dilakukan oleh Tuhan kamu ketika ini ?" Soalan Dahriyang terakhir itu membuat Imam Abu Hanifah tersenyum riang. Dia seperti menduga soalan itu yang akan ditanyakan lawannya.

"Soalan yang terakhir itu sangat menarik. Ia menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Kerana soalan itu penting, saya perlu menjawabnya dari tempat tertinggi supaya dapat didengar oleh semua orang. Kerana itu marilah kita bertukar tempat. Kamu turun ke bawah dan saya naik ke atas mimbar supaya suara jelas kedengaran," kata Imam Abu Hanifah.

"Baiklah, dengan senang hati aku turun ke bawah dan kamu boleh mengambil tempat aku di atas mimbar," kata Dahriyang berasa yakin beroleh kemenangan.

Imam Abu Hanifah berdiri di atas mimbar lalu menghadap ke arah orang ramai lalu berkata dengan suara yang lantang, "Wahai sekalian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah sekarang ini adalah menjatuhkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Allah juga menaikkan yang hak sebagaimana saya, yang berada di bawah sana, dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini."

Maka bergemalah takbir daripada orang ramai. Mereka memuji kewibawaan Imam Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah umat Islam daripada lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Dahri pula terpaksa mengaku kalah lalu pulang ke negaranya dengan penuh kehinaan.

Walau sudah hampir ribuan tahuj pemuda itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. 


0 Cer komen Cikit: