24 July 2014

Doa ayah

Doa ayah
Mohamad Lazim berharap berkesempatan bertemu Umi Azlim pada hari pembebasannya

Tujuh tahun sudah berlalu, namun sebagai bapa tempoh masa itu tidak menjadi penghalang untuk beliau merindui anak kesayangannya yang masih meringkuk di penjara Guangzhou, China, atas kesalahan menyeludup dadah.

Saban hari, perasaan rindu Mohamad Lazim Jusoh, 68, terhadap anak sulungnya, Umi Azlim, 30, semakin menebal walaupun tidak mampu bersua muka seperti mereka yang lain.
 
Bagaimanapun, bapa kepada enam cahaya mata itu berpendapat, hanya doa yang mampu dititipkan terhadap anak kesayangannya itu semoga sentiasa dilindungi dan diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di negara berkenaan.

Bagaimanapun, terdetik kebimbangan dalam sudut hati kecil warga tua itu, sama ada masih berkesempatan menemui Umi Azlim yang dijadualkan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2022, memandangkan usianya semakin tua.

Apa pun, Mohamad Lazim tetap pasrah dengan ketentuan yang membebani sudut hatinya tanpa berputus asa untuk terus berdoa bagi mendapatkan 'jodoh pertemuan' yang sentiasa dinantikan setiap kali menjelangnya sinar pada pagi Syawal.

"Saya sentiasa berdoa supaya diberi kesempatan untuk berjumpa Umi Azlim pada hari pembebasannya. Hasrat isteri saya, Umi Slaia Ibrahim untuk berjumpa Umi Azlim juga tidak kesampaian apabila dipanggil mengadap Ilahi pada tahun 2008 iaitu setahun selepas anaknya dipenjara.

"Sekiranya diberi kesempatan berjumpa Umi Azlim, saya mahu memeluk dia sepuas-puasnya selepas sekian lama terpisah tetapi apakan daya, saya hanya mampu berdoa semoga dipanjangkan usia.
"Jika takdir mengatakan saya tidak berkesempatan menemuinya, saya tetap reda dan mahu meluahkan rasa kerinduan saya terhadap Umi Azlim tidak pernah terpadam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pak Amat, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. 
Sumber : Berita Harian

0 Cer komen Cikit: