Saya
beberapa kali pernah mendapat sms bertanyakan tentang bagaimana
penyelesaian bagi seorang wanita yang kedatangan haid selepas berniat
ehram & kemudian haid itu berterusan sehinggalah tarikh akhir untuk
pulang ke tanahair tiba. Saya tahu bahawa masalah ini adalah masalah
yang sering berlaku khasnya kepada jemaah umrah wanita. Tetapi
penyelesaian dan cadangan tidak dijelaskan kepada mereka sebelum mereka
pergi menunaikan ibadah umrah yang lazimnya hanya selama 12 hari di
mekah dan madinah ini, menyebabkan kadang-kadang si wanita berijtihad
sendiri @ selesaikan masalahnya sendiri tanpa ilmu.
Saya
harap tulisan yang sedikit ini dapat membantu memahamkan golongan
wanita yang mahu menunaikan umrah seterusnya mengambil langkah sedia
agar tidak melakukan kesilapan, lalu terganggu dengan tuntutan-tututan
yang tidak selesai ketika pulang dan berada di tanahair.
Jika
destinasi pertama jemaah wanita adalah madinah & kemudian menuju ke
mekah untuk menunaikan umrah, maka wajib dia berniat ehram daripada
Miqat Zulhulaifah (Abyar Ali) walaupun si wanita didatangi haid. Ini
seperti yang berlaku kepada Asma' bte U'mais ketika didatangi nifas di
Zulhulaifah kerana melahirkan Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq. Haid
bukan alasan untuk wanita meninggalkan tempat miqat, lalu terus menuju
ke Mekah tanpa ehram untuk menunggu waktu suci dan berniat ehram di
Mekah. Jika ini dilakukan maka wanita wajib membayar dam (seekor
kambing) di Mekah.
Jika
destinasinya terus ke Jeddah & ke Mekah, maka niat dilakukan ketika
melalui sempadan Yalamlam (92 km dari Mekah). Justeru beberapa minit
sebelum sampai ke Jeddah semua jemaah perlu bersedia untuk berniat
ehram. Persoalan miqat makani ini wajib dipatuhi kerana nabi telah
menentukan miqat tersebut dalam hadis yang soheh riwayat Bukhari &
Muslim.
Perkara yang sewajarnya difikirkan & diketahui oleh wanita sebelum umrah;
1)
Mengetahui bilakah hari dan tarikh datangnya haid mengikut kebiasaan?
Justeru untuk mengelakkan berlakunya kerugian dalam tempoh umrahnya yang
singkat itu (12 hari) maka pastikan tarikh umrahnya adalah bertepatan
dengan hari-hari sucinya.
2)
Pastikan wanita tersebut bermusafir bersama mahramnya. Ini kerana
terdapat larangan Nabi terhadap wanita daripada bermusafir tanpa mahram.
Hal ini adalah umum dalam semua permusafiran, samada berbentuk ibadah,
percutian, ziarah, pelancongan dan sebagainya.
3)
Mengetahui bahawa ibadah sai' dan tahallul tidak disyaratkan wudu'.
Justeru jika wanita didatangi haid selepas selesai tawaf, maka
sempurnakan sahaja umrahnya. Melakukan sai' seterusnya tahallul.
4)
Tahu bahawa disana terdapat keharusan untuk kita (isytirat @ istisna')
bersyarat @ berkecuali ketika mahu berniat ehram agar kita selamat
daripada sebarang denda jika kita terpaksa meninggalkan ehram dalam
keadaan-keadaan tertentu. Bermaksud, si jemaah umrah @ haji membatalkan
umrahnya @ hajinya jika darurat tanpa dikenakan apa-apa denda. Caranya
ialah membacakan lafaz ini selepas berniat umrah @ haji;"in habasani
habisun fa mahalli khaithu habastani.
Jika terdapat sesuatu aral yang menghalangku daripada ibadah ini maka
tempat tahallulku adalah ditempat aral tersebut". Isytirat ini adalah
digalakkan kepada mereka yang merasakan bahawa dirinya mungkin berdepan
dengan masalah @ tidak mampu menyelesaikan umrah & hajinya.
Justeru, wanita yang merasakan kemungkinan didatangi haid sepanjang
tempoh keberadaannya di Arab Saudi maka sertakanlah niat isytirat ini
ketika berniat ehram.
Penyelesaian bagi wanita didatangi haid selepas berehram;
Jika
haid datang selepas berniat ehram umrah, kemudian ianya berterusan
sehinggalah waktu untuk pulang tiba? Apakah tindakan yang perlu
dilakukan oleh wanita tersebut? Ramai yang mengambil jalan tahallul
sahaja di airport Jeddah dan menyerahkan wang untuk bayaran kambing
kepada orang-orang tertentu. Ini adalah penyelesaian tergesa-gesa yang
sebenarnya menyebabkan si wanita terhutang tuntutan (wajib datang semula
menunaikan umrah menurut sebahagian ulama). Lebih malang lagi,
sebahagian mereka ditipu agar membayar 2 dam (2 kambing) yang kedua
kerana bertahallul di Jeddah.
Berikut adalah beberapa penyelesaian mengikut keutamaan;
Pertama;
Si wanita bersama mahramnya memanjangkan keberadaannya di Mekah (terus
menunggu dalam ehram hingga suci) kemudian selesaikan umrahnya. Ini adalah yang sewajibnya jika mampu berbuat sedemikian. jika tidak mampu?
Kedua
; Wanita yang haid boleh bertahalul dan tidak dikenakan apa-apa dam
jika semasa berniat ehram tadi meletakkan syarat seperti yang saya
dijelaskan di atas. Jika tidak letak syarat, maka wajib bayar dam dan
kemudian qado' semula umrahnya pada masa yang lain segera yang mungkin.
Ketiga;
Si wanita boleh menyelesaikan umrahnya dengan mengambil pil penahan
haid untuk kadar yang perlu sahaja. Walaupun kaedah ini tidak berapa
dipersetujui oleh sebahagian ulama kerana dikhuwatiri boleh membahayakan
kesihatan wanita. Sebaiknya mengambilnya dengan persetujuan Doktor.
keempat;
Diharuskan bagi wanita tersebut melakukan tawaf pada waktu terputusnya @
terhentinya haid seketika sekalipun sebenarnya wanita itu belum suci
sepenuhnya daripada haid. Hendaklah wanita yang masih dalam haid itu mandi,
kemaskan diri sebaiknya, memakai tuala wanita dan menunaikan umrahnya
seperti biasa. Insyaallah umrahnya juga sah. Ini beramal kepada satu
pendapat dalam mazhab Syafie yang menyatakan ;"Putus haid pada hari-hari
haid adalah suci" dan ini bertepatan dengan pandangan imam Malik dan
Ahmad. Lihat al-majmuk karangan Imam Nawawi bab al-Hajj 2/283 &
Fatawa al-Azhar 1/205.
Kelima;
Menurut fatawa al-azhar 1/205, "Harus bagi wanita mewakilkan orang lain
melakukan tawaf untuk dirinya dengan syarat orang yang diwakilkan telah
melakukan tawaf ter,ebih dahulu untuk dirinya". Fatwa ini mungkin
berpandukan kepada qiyas berkait keharusan mewakilkan orang lain
melontar jamarat bagi mereka yang uzur dan lemah. Wallahua3lam.
*Perlu
diketahui, menziarahi Madinah bukanlah syarat sah Umrah mahupun Haji.
Justeru jika masa tidak mengizinkan untuk anda menziarahi Madinah maka
boleh terus pulang ke Tanahair tanpa apa-apa dosa.
*Wanita tidak boleh menguatkan suaranya dengan talbiah.
*Wanita tidak disyarakkan berlari-lari anak (Ramal) ketika tawaf @ Saie.
*Wanita diharamkan mencukur rambutnya untuk bertahallul bahkan memadai dengan menggunting sedikit sahaja.
[1] Rujuk Soheh Bukhari no 4699, bab al-Akfa' fi Din, Soheh Muslim no 2101 bab Jawaz Isytirat al-Muhrim al-Tahllul.
[2] Ianya
merangkumi sakit teruk, haid, kematian suami, dipenjara, dihalang
memasuki Mekah, dan apa-apa aral berat samada melibatkan syarak mahupun
adat yang menghalang dia meneruskan umrah@ hajinya. Maka dia boleh
memilih untuk terus bersabar dalam ehram ataupun melepaskan ehramnya
tanpa apa-apa denda.
[3] Maksudnya,
tambahkan lagi tempohnya di Mekah khasnya jika jemaah beredar dari
Mekah ke Madinah bukan terus balik ke Malaysia @ negara masing-masing.
Lebih khas lagi jika wanita tahu, tempoh sucinya hanya berbaki sehari
dua sahaja lagi.
0 Cer komen Cikit:
Post a Comment