Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa, pelakon baru Lia Natalia,
22, takut untuk memberi komen apabila wataknya berkemban dalam drama
Takhta 3 Ratu arahan Erma Fatima mendapat kecaman orang ramai.
Tambah pula sewaktu isu itu ditimbulkan, Lia yang memegang watak
pembantu dayang Puteri Galoh Chandera masih menjalani penggambaran.
Isu itu menjadi lebih hangat apabila Erma memberi kenyataan di laman
sosial, jika watak puteri dari Majapahit dan orang-orangnya ‘berkemban
itu akan membawanya ke neraka, dia reda’.
Dalam artikel disiarkan Harian Metro baru-baru ini, Erma menjelaskan,
kata-kata itu dimuat naik ke laman sosial Instagram miliknya selepas ada
pihak mempertikaikan watak wanita berkemban tanpa mendengar
penjelasannya terlebih dulu.
Perkara itu dibuat kerana cerita dihasil berdasarkan sejarah dan
peristiwa sebenar berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah
sekitar 1456. Dia tidak pernah mempertikaikan hukum agama.
Bagi Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden, dia sekadar
melaksanakan tugasnya sebagai pelakon untuk watak dan cerita berdasarkan
sejarah. Katanya, penampilan berkemban beberapa pelakon Takhta 3 Ratu
tidak seharusnya dijadikan isu besar.
“Takhta 3 Ratu yang bakal disiarkan di Astro Box Office berkisar kepada
sejarah Melayu Melaka. Sebelum menjalani penggambaran, Erma membuat
penyelidikan terlebih dulu.
“Bayangkan jika watak Puteri Galoh Chandera dan dayang-dayang dipaparkan
berbaju kurung, tentu ia salah dari sudut penampilan, terutama pada
zaman pemerintahan Majapahit.
“Sebagai pelakon yang menjayakan watak itu, saya tidak pernah
menyalahkan Erma selaku pengarah apabila perkara itu menjadi isu dan
diperbesar-besarkan.
“Hendak diikutkan, sejak zaman P Ramlee lagi watak sama turut
memaparkan pelakonnya berkemban, tapi tidak menjadi isu,” katanya.
Kata Lia, sebagai pelakon, dia dan Ellie Suriaty hanya bekerja dan
pakaian digayakan menunjukkan identiti Majapahit pada zaman itu. Lia
turut kesal apabila membaca komen dan kritikan umum di laman sosial
mengenai isu itu.
Ia disifatkan melampau dan keterlaluan kerana kebanyakan daripada mereka
menjatuhkan hukum tanpa mengetahui atau mendapatkan penjelasan sebenar
apa yang dilakukan pengarah itu.
“Kami bukan tidak berbaju langsung tapi hanya disebabkan berkemban, kami
dijatuhkan hukum. Saya benar-benar berharap perkara ini tidak lagi
dijadikan isu.
“Saya kasihan dengan Erma kerana sebagai pengkarya, dia cuba memberi
yang terbaik supaya drama dihasilkan itu benar-benar hidup berdasarkan
latar sejarah. Sepatutnya kita harus memberi galakan atas usaha
dilakukan.
“Mungkin mereka yang mengkritik itu tidak melihat secara keseluruhan
tapi saya percaya apabila Takhta 3 Ratu disiarkan nanti, mereka akan
faham.
“Seperti Erra Fazira, mengapa wataknya dan pakaiannya dengan berseluar
dan siap dengan aksesorinya. Sebab begitulah gambaran Tun Teja
Lelawangsa berdasarkan gambaran diberi dalam buku sejarah,” katanya.
Tegas Lia, jika apa dikatakan ini mahu dikaitkan dengan Islam, dia tidak
mahu mengulas kerana perkara seperti itu tidak seharusnya dibahaskan.
Bimbang ia disalah tafsir dan mendatangkan implikasi buruk.
Pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti Pilih Kasih
musim kedua dan Gadis M2 itu menjelaskan, dia menerima tawaran
melakonkan watak dayang Puteri Galoh Chendera kerana sukakan karakter
itu.
Apatah lagi ia turut membariskan pelakon berpengalaman dan diarahkan Erma, pengarah yang disifatkan bagus dan kreatif.
“Sebagai pelakon baru, saya mahu menimba ilmu. Berkemban hanya
pemakaian. Apabila ada yang mengkritik tetapi betul caranya, saya akan
terima.
“Apabila ada pihak menjadikan perkara ini sebagai isu, saya tidak risau,
apatah lagi takut, kerana dapat rasakan pemakaian Puteri Majapahit dan
orang-orangnya akan dijadikan isu dan saya bersedia. Saya tidak mahu
ambil pusing dengan kritikan berbau negatif yang dilempar,” katanya.
Pelakon Aku Isterinya yang kini disiarkan TV3 menerusi slot Akasia dan
Perempuan Dalam Pasungan (Astro) tidak mengharapkan kontroversi
berkemban akan menaikkan namanya.
Katanya, walaupun sedar sebagai pelakon baru memang perlu untuk
dikenali, dia tidak mahu popular menerusi isu tidak bagus atau
kontroversi. Dia mahu bakatnya lebih dinilai dan dilihat orang.
“Pada saya, apa yang berlaku adalah pengalaman untuk saya belajar
menjadi lebih baik pada masa akan datang. Perjalanan saya dalam kerjaya
seni masih jauh, lagipun saya baru empat tahun aktif sebagai pelakon.
“Biar saya lambat dikenali tapi akhirnya dikenali menerusi bakat
dimiliki. Kalau popular disebabkan kontroversi, takut nanti kerjaya seni
saya entah ke mana,” katanya.
Sumber
25 June 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 Cer komen Cikit:
Tak nak komen lebih2.. takut aku membacanya.. Moga Allah memberi petunjuk kepada mereka.. InsyaAllah..
Post a Comment