17 June 2014

TAFSIR SURAH YAASIN DARI PERSPEKTIF SAINS DAN SEJARAH



Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya layak bagi Allah, Tuhan yang mencipta dan mendidik sekalian alam. Selawat dan salam diucapkan ke atas nabi junjungan, Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat sekalian. Surah Yasin merupakan surah yang ke-36 daripada 114 surah yang terdapat dalam al-Quranul-karim. Surah ini mengandungi 83 ayat, yang semuanya diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w. berada di Mekah, kecuali ayat yang ke-12, yang diturunkan di Madinah selepas baginda berhijrah ke sana. Justeru itulah surah Yasin digolongkan dalam surah Makkiyah. Antara tujuan Allah menurunkan surah Yasin adalah untuk menambahkan keyakinan dan semangat baginda Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangannya yang suci itu, khususnya ketika keadaan menjadi semakin mencabar akibat halangan dan tentangan kaum Quraisy terhadapnya kian memuncak dan semakin ganas. Selain itu, tujuan surah ini diturunkan adalah untuk menambah ilmu pengetahuan umat
Islam sendiri tentang akidah tauhid, tentang sejarah perjuangan para anbiya’ dan para pengikut mereka yang beriman dan taat, dan juga tentang fenomena alam semesta yang maha luas ini, khususnya alam ghaib yang amat kompleks itu. Ini penting kerana pada peringkat permulaan wahyu diturunkan, manusia sangat cetek dan dangkal sekali ilmu pengetahuannya terhadap
agama, akhlak dan taqwa. Surah ini mengandungi beberapa fasa.

Fasa pertama terdiri daripada ayat pertama hingga ayat yang ke-12.
Dalam fasa ini, Allah menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah salah seorang rasul yang dilantik-Nya untuk menyebarkan Islam kepada seluruh umat manusia bagi memperbetulkan segala penyelewengan, khususnya penyelewengan akidah yang berlaku di kalangan mereka.

Fasa kedua terdiri daripada ayat ke-13 hingga ayat yang ke-32.
Dalam fasa ini, Allahmenjelaskan kaedah berdialog yang terbaik kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda sentiasa berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan yang bijak dan berpengaruh. Perlu diketahui bahawa ketika berhujah dengan golongan yang mahu berfikir, seseorang itu mestilah menggunakan logik dan mengemukakan fakta yang sebenar dengan tepat, kerana kedua-dua unsur ini boleh mendorong seseorang itu berfikir dengan lebih matang. Ini dapat menghindarkan sikap suka berpegang kepada mitos atau cerita
dongeng yang disogok ke dalam kitab-kitab agama yang telah diubah isi kandungannya oleh para pendeta selepas kewafatan seseorang rasul.

Fasa ketiga terdiri daripada ayat ke-33 hingga ayat ke-40.
Dalam surah ini, konsep sains hayat dan sains kosmos diterangkan dengan jelas. Tujuannya supaya manusia sedar bahawa itu adalah bukti yang menunjukkan Allah ialah pencipta yang Maha Bijaksana. Oleh itu manusia tidak boleh sama sekali daripada menyembah selain Allah dan tidak boleh mematuhi selain syariat-Nya.

Fasa keempat terdiri daripada ayat ke-41hingga ayat ke-44.
Dalam fasa ini pula Allah memaparkan kisah tribulasi perjuangan Nabi Noh a.s untuk dibandingkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan tribulasi perjuangannya sendiri. Walaupun tribulasi perjuangannya cukup getir, namun perjuangan Nabi Noh a.s lebih getir kerana selain sukar mendapat sokongan daripada kaumnya, perjuangan baginda terpaksa mengambil masa yang terlalu panjang.

Fasa kelima terdiri daripada ayat ke-45 hingga ayat ke-68.
Dalam fasa ini, Allah menceritakan kisah hari kiamat, kebangkitan semula manusia daripada kubur, mahsyar, syurga dan neraka, serta keadaan penghuni di dalamnya. Tujuannya supaya manusia sedar bahawa hakikat kehidupan yang mesti dilaluinya adalah dalam dua peringkat, iaitu di dunia dan di akhirat. Kehidupan di dunia adalah untuk beramal dan beribadat kepada Allah, manakala kehidupan di akhirat pula adalah untuk menerima balasan daripada setiap amalan yang dilakukan.

Fasa keenam terdiri daripada ayat yang ke-69 dan ayat yang ke-70.
Dalam fasa ini, Allah menafikan dakwaan para sasterawan Quraisy yang menyamakan al-Quran dengan syair disamping menafikan tuduhan mereka yang mengatakan Nabi Muhammad ialah seorang penyair yang pandai menggunakan ilmu sihir.

Fasa ketujuh terdiri daripada ayat yang ke-71 hingga ayat ke-81.
Dalam fasa ini Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa menggunakan kemahiran berfikir bagi mencari rahsia kejadian alam ciptaan-Nya agar mereka menjadi orang yang beriman dan berilmu pengetahuan tinggi. Ini penting kerana Allah tidak akan menerima iman seseorang secara ikut-ikutan sahaja kerana iman secara ikut-ikutan tidak dapat menjamin seseorang daripada penyelewengan akidah. Antara langkah yang perlu diambil oleh seseorang untuk meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuannya ialah berusaha membuat penyelidikan bagi mengetahui rahsia alam dan asal usul kejadian dirinya sendiri, asal usul kejadian haiwan ternakan dan juga tumbuh-tumbuhan yang ada di sekelilingnya. Dengan
membuat penyelidikan yang mendalam terhadap kejadian alam, seseorang itu dapat menikmati kemanisan iman yang didukungnya. Sebagai contoh, jika seseorang itu membuat kajian yang mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekelilingnya, dia tentu boleh mengetahui rahsia bagaimana tumbuh-tumbuhan tersebut dapat mengeluarkan tenaga yang boleh membantu kehidupan manusia, seterusnya berusaha menggunakannya sebagai nikmat yang dikurniakan
Allah kepada mereka. Dengan kajian yang mendalam terhadap semua benda yang disebutkan dalam ayat-ayat tersebut, manusia bukan sahaja boleh menjadi orang yang beriman, malah mereka juga boleh menjadi orang yang berilmu pengetahuan tinggi. Hakikat ini penting kerana beriman tanpa ilmu adalah lemah dan berilmu tanpa iman adalah kufur. Allah tidak menyanjung orang jahil yang beriman dan begitulah juga ilmuan yang kufur kerana orang yang beriman dan berilmu pengetahuan tinggi sahaja yang dapat menjalankan tugas khalifah di muka buni ini dengan sempurna.

Firman Allah:
Nescaya Allah akan mengangkat orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ke beberapa darjat.”

Fasa kelapan atau fasa yang terakhir terdiri daripada ayat ke-82 dan ayat ke-83, iaitu ayat yang terakhir bagi surah ini.
Dalam fasa ini, Allah membuat kesimpulan terhadap seluruh persoalan yang dibangkitkan dalam surah ini. Berasaskan kuasa mutlak yang ada pada-Nya, Allah mampu mencipta sesuatu dalam sekelip mata. Namun menurut fitrah, sunnah, qadak dan qadar-Nya, sesuatu itu tidak dijadikan secara tiba-tiba dalam sekelip mata, sebaliknya mengikut kaedah evolusi. 

Sumber : Buku TAFSIR SURAH YAASIN DARI PERSPEKTIF SAINS DAN SEJARAH   
              Zawawi Hj Ahmad

0 Cer komen Cikit: